Realiti: Serangan Pemikiran Pemuda Pemudi Masa Kini

Assalamu’alaikum w.b.t.

Terima kasih diucapkan kepada pihak PEMBINA UPM kerana telah menjemput saya untuk menghadiri Program Daurah khas bagi pelajar tahun pertama ijazah semester pertama pada hari Ahad, 15/12/2013 dari 8.30 pagi hingga 1.30 petang bertempat di Masjid Besar UPM. 

Alhamdulillah dan rasa syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T kerana diberi peluang dan kesihatan yang baik untuk menjalani program yang dianjurkan pihak PEMBINA.

Daurah yang saya hadiri ini bertajuk Serangan Pemikiran: Sejarah Liberalisme Dan Ancamannya Di Malaysia Masa Kini telah disampaikan oleh Ustaz Mus’ab Norkefli lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. 

Hadirnya saya dalam program daurah kali pertama ini telah membuka mata dan minda saya dengan lebih jelas tentang ancaman pihak luar yang membawa masuk serangan-serangan halus yang bukan berbentuk fizikal, iaitu serangan pemikiran yang mana serangan ini ditujukan khas untuk pemuda dan pemudi seluruh dunia. Serangan pemikiran yang berbentuk ancaman tidak sihat lagi merosakkan ini sebenarnya amat dispesifikasikan skopnya kepada para pemuda dan pemudi Islam sebenarnya. 

Hal ini kerana, sebelum ini saya hanya memahaminya serba sedikit melalui pembacaan sahaja, dan belum pernah mengikuti mana-mana program atau ceramah khas yang menerangkan bahaya liberalisme itu sendiri.
Oleh itu, saya amat berbesar hati apabila dijemput dan sukacita dimaklumkan bahawa daurah yang saya hadiri ini menjana pemikiran yang selama ini kurang terbuka mengenai isu semasa secara lebih mendalam.

Selain itu, bagi menyokong kenyataan saya ini adalah ramai orang termasuk diri saya sendiri tidak sedar dengan ancaman dan serangan halus yang dimainkan oleh musuh Islam. Buktinya, ramai pemuda pemudi semakin parah akhlaknya, semakin hilang budaya timurnya, semakin tenat rohaninya dan semakin tegar mereka dengan dunia yang kosong nilainya.

Tambahan, input yang saya terima hasil daripada program ini ialah dapat memahami dengan lebih jelas dan faham sejarah terciptanya liberalisme, tujuan dan objektif liberalisme diwujudkan, pengasas sistem liberalisme, para pengikut liberalisme dan negara yang terlibat dengan sistem liberalism serta isu masa kini yang berkait dengan liberalisme. 

Hasil pendedahan yang progresif dilakukan dapat menjadikan saya dan sahabat-sahabat lebih cakna, berhati-hati dan mendalami kesan-kesan sistem liberalisme melalui aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang disediakan.

Perbincangan dalam kumpulan tentang ancaman liberalisme

Dalam LDK itu sendiri, secara peribadi dan secara tidak langsung dapat saya fahami bahawa tugas yang diberikan itu adalah sebahagian kriteria yang terdapat dalam sistem liberalisme demi tujuan mereka yang satu, iaitu untuk menghancurkan jati diri dan agama serta akhlak pemuda pemudi Islam hari ini. 

Tugas yang diberikan kepada kumpulan-kumpulan (akhwat) yang terlibat semasa menjayakan daurah ini ialah isu berpasang-pasangan sebelum nikah atau istilah “couple”, isu syiah, konspirasi musuh Islam dan gejala hedonisme. Tidak dapat dinafikan bahawa inilah antara ancaman para pemuda pemudi hari ini yang masih ramai tidak menyedari bahawa mereka diulit alam fantasi di dunia ini yang noktah hidupnya mungkin hari ini.

Akhir kalam, saya faham dan jelas objektif adanya program daurah yang dianjurkan PEMBINA supaya anak-anak muda kembali kepada realiti dunia hari ini dan tidak tersangkut kepada konspirasi musuh Islam tanpa ada agenda dalam diri. 

Alhamdulillah banyak manfaat yang diterima dan diucapkan tahniah kerana program berlangsung mengikut jadual yang dirancang.

Saya percaya, jadual yang disusun itu  dipermudahkan oleh Allah S.W.T sehinggakan saya menghadiri mana-mana program anjuran PEMBINA, walaupun waktu program bermula tidak mengikut perancangan disebabkan beberapa faktor. 

Namun dengan izin Allah S.W.T, program yang dijalankan dapat disempurnakan mengikut waktu yang direncanakan. 

Apapun, syabas dialunkan kepada semua pihak yang menjayakan dan mudah-mudahan dapat meneruskan program dan mengajurkan aktiviti berbentuk dakwah dalam skop isu semasa pada masa akan datang. Besar harapan saya untuk melihat PEMBINA terus mekar dan maju ke hadapan, membawa nama Islam seterusnya meneraju arus mahasiswa yang tidak akan padam. 
Wallahua’lam.

Artikel oleh:
Nazatul Shima Binti Masri
Bacelor Pengurusan Alam Sekitar,
PEMBINA UPM.

0 komen:

Catat Ulasan